Kuala Lumpur: “Wanita yang mudah
terperdaya dengan kata-kata manis seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook
kemudian mereka bertemu, ibarat seperti menempah bala,” kata pakar motivasi Dr
Rubiah Hamzah.
Beliau yang juga penceramah bebas
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang jururawat berusia 25
tahun terpaksa mengambil masa empat hari untuk mencari jalan meloloskan diri
daripada menjadi ‘tawanan’ seorang Romeo Siber yang mengurungnya di sebuah
rumah di Seksyen 19, Subang Jaya, yang dikenali melalui Facebook, Oktober lalu.
Difahamkan, Romeo Siber yang hanya bekerja sebagai pemandu di sebuah syarikat
swasta itu juga dipercayai sudah memperdaya sekurang-kurangnya tiga wanita muda
melalui Facebook sejak enam bulan lalu.
Menurutnya, selagi laman sosial
Facebook itu disalah guna, pelbagai masalah akan timbul sekali gus menyebabkan
individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Jika dalam Facebook itu terdapat
paparan gambar yang mendedahkan aurat serta menaikkan nafsu syahwat lelaki,
tidak mustahil ia mendatangkan kemudaratan kepada wanita itu.
“Pendapat saya, wanita yang
berkenalan melalui Facebook kemudian melalui fasa berjumpa dengan lelaki itu
diibarat sudah menempah bala, kerana usia perkenalan tidak menjamin kebaikan
lelaki itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Katanya, mengambil
contoh anak gadis yang berada di pusat perlindungan di negara ini yang
kebanyakan sudah ‘rosak’ akibat mudah percaya kepada Romeo Siber.
“Fenomena pergaulan menerusi laman
sosial turut disifatkan sebagai pergaulan bebas tanpa batasan dan mampu
menyebabkan individu terjebak dalam kes keruntuhan moral.
“Malah, ada antara lelaki itu
bermodalkan ayat manis dan wajah kacak hingga berjaya menjerat cinta gadis
remaja dengan menggunakan Facebook untuk menjadi pemuas nafsu mereka. Sasaran
mereka adalah gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial untuk mencari
kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan kehormatan diri,”
katanya.
sumber:
myMetro
No comments:
Post a Comment