Usahakan Untuk Membuat Sekurang-kurangnya Tiga Orang Tersenyum Hari Ini.
Senyum bukanlah suatu pekerjaan sukar yang memerlukan tenaga tubuh badan yang banyak untuk mengerjakannya. Anda tidak memerlukan cangkul untuk senyum. Anda tidak memerlukan kompleks sukan untuk senyum. Anda tidak memerlukan sebuah pejabat untuk senyum. Anda tidak memerlukan mesin unggul hanya untuk senyum.
Senyum hanyalah mimik muka yang boleh dilakukan secara spontan dalam sesuatu masa, dan oleh sesiapa pun. Senyum yang mantap ialah sebuah senyuman yang terbit dari jiwa dan hati yang tenang dan gembira.
Jika anda dalam keadaan berduka atau sedang mengalami konflik jiwa semasa, seperti marah, geram, tidak puas hati, atau derita, rias wajah anda tidak mampu memancarkan senyuman yang berseri.
Jika anda senyum pun, senyuman itu nampak seperti dibuat-buat dan jangan hairan kerana situasi itulah yang sedang berlaku. Senyumlah apabila anda rasa senang untuk tersenyum. Tidak ada orang lain yang boleh memaksa anda untuk senyum dikala anda tidak mahu mengukir senyuman.
Siapa pun anda, dan di mana pun anda berada pada satu-satu masa, adalah lebih baik jika anda berusaha untuk mengukir senyuman seikhlas yang mungkin sehingga orang lain senang dengan keadaan persekitaran yang sedang bergema dengan gelombang senyuman. Secara tidak langsung, orang lain juga terdorong untuk turut tersenyum secara semulajadi.
Senyuman tidak boleh diperjual-beli tetapi berupaya mengangkat jiwa yang sedang melarat dalam dukacita kearah hidup lebih bahagia dan harmoni. Bilakah masa terakhir, anda membuat orang lain tersenyum? Buatlah orang lain tersenyum hari ini dan anda akan menjadi orang yang paling bahagia tanpa anda sedari.
Hidup harmoni bukanlah mengenai bagaimana anda ketawa terbahak-bahak untuk menyedapkan hati dan jiwa sendiri tetapi hidup harmoni ialah apabila anda berupaya untuk menyemarakan suatu keadaan dengan senyuman sehingga orang lain turut ceria, senang, dan gembira serta turut tersenyum. Jika ada gerak badan yang paling ringkas tetapi mampu membuat orang lain senang, itu ialah senyuman.
No comments:
Post a Comment