Adi hairan. Tengah hari itu orang
terlalu banyak. Ramai sangat. Tidak seperti hari-hari yang sudah lalu. Dalam
hati, Adi terfikir-fikir sendirian. Mencari jawapan yang tidak pasti. Kenapa?
Kenapa hari ini rumah Aki dan Indi ramai orang? Selalunya keadaan rumah Indi
dan Aki tidak sesibuk ini, fikir Adi. Ida, adiknya tidak ada menyambut
kepulangannya tengah hari ini seperti hari-hari yang sudah. Entah kenapa.
Jiwanya mula resah. Resah mencari jawapan. Kelibat Aki pun dia tak nampak. Indi
di mana? Perasaan Adi tambah gelabah. Adi nampak Tok Penghulu mundar-mandir di
halaman rumah Aki dan Indi. Jerban pun dia nampak. Ada
ramai perempuan setengah usia turut sama berada di sana. Beberapa pemuda sasa juga sedang
berdiri tidak jauh dari Tok Penghulu dan Jerban. Beberapa orang gadis sunti
tersenyum-senyum kambing melihat Adi. Namun pada setiap wajah kelihatan muram. Tidak
berseri seperti kebiasaan. Adi tambah kebingungan. Kenapa?
Aki dan Indi sudah lama tinggal di kampung itu. Mereka terkenal dengan budi pekerti yang indah dan mulia. Mereka suka menolong. Tak kira apa jenis pertolongan. Hari itu keluarga Jerban mengadakan majlis kesyukuran anak bungsu mereka. Aki dan Indi tidak ketinggalan datang ke rumah Jerban. Menghulurkan tangan untuk membantu apa-apa yang terdaya. Dua minggu sebelumnya, kerbau Tok Penghulu terlepas dari kandang, Akilah orang yang pertama datang kepada Tok Penghulu membantu menangkap semula kerbau tersebut. Orang kampung senang sekali dengan Aki dan Indi. Tanyalah siapa saja. Bermula dari anak-anak muda kepada orang dewasa malah orang veteran pun sehati dan sekata mengiakan kebaikan Aki dan Indi.
Aki dan Indi sudah lama tinggal di kampung itu. Mereka terkenal dengan budi pekerti yang indah dan mulia. Mereka suka menolong. Tak kira apa jenis pertolongan. Hari itu keluarga Jerban mengadakan majlis kesyukuran anak bungsu mereka. Aki dan Indi tidak ketinggalan datang ke rumah Jerban. Menghulurkan tangan untuk membantu apa-apa yang terdaya. Dua minggu sebelumnya, kerbau Tok Penghulu terlepas dari kandang, Akilah orang yang pertama datang kepada Tok Penghulu membantu menangkap semula kerbau tersebut. Orang kampung senang sekali dengan Aki dan Indi. Tanyalah siapa saja. Bermula dari anak-anak muda kepada orang dewasa malah orang veteran pun sehati dan sekata mengiakan kebaikan Aki dan Indi.
“Adi, Adi boleh tolong nenek kemaskan
barang-barang ini?” laung Indi dari arah dapur. Mengusik lamunan Adi petang
itu. Adi faham keadaan dia dan adiknya, Ida. Aki dan Indilah tempat mereka bergantung.
Tanpa Atuk dan Indi, Adi rasa dunia ini gelap dan suram. Ibu dan ayah mereka
telah pergi mendahului mereka beberapa tahun yang lalu. Walaupun Adi masih
kecil tapi dia faham benar erti keperitan hidup. Pengalamanlah yang mengajarnya.
Malam itu, Adi rasa tidak senang. Juga
tidak tenang. Apa yang dia lakukan serba tak kena. Sewaktu dia mengambil air
untuk minum, tanpa sengaja gelas jatuh. Pecah berkecai di atas lantai semen
rumah mereka. Sekitar jam 7.30 malam, sebuah kereta peronda polis datang. Adi cuma
ingat polis mengatakan sebuah kereta proton saga berwarna kelabu terlibat dalam
kemalangan. Apabila nombor pendaftaran kereta itu disebut, keresahan Adi
bertambah. Dia tahu nombor pendaftaran kereta itu adalah kereta milik ayahnya.
Tidak lain. Ida hanya terlopong mendengar semua keterangan polis tadi. Dua adik
beradik ini esak-esak dalam tangisan. Mulai saat itu, Aki dan Indilah yang
menjaga makan pakai mereka. Ayah Adi sebenarnya anak kepada Aki. Sebab itu Adi
tidak segan dengan Aki dan Indi. Aki ambil alih tanggungjawab sebagai ayah kepada
Adi dan adiknya, Ida. Indi pula mengambil peranan sebagai ibu kepada mereka
berdua.
“Yang itu Adi masukkan ke dalam plastik,
ya.” Suara Indi lembut tapi jelas. Adi melihat tangan neneknya yang agak
berkeriput. Adi faham benar keadaan neneknya. Nenek sudah berumur. Seingat Adi
nenek berumur dalam lingkungan enam puluh tujuh tahun. Dua tahun yang lalu Adi
masih ingat apabila ayahnya menghadiahkan Indi dua helai sarung berbunga indah.
Indah sekali. Adi masih ingat pesan ayah tentang hadiah itu. Ayah kata dia mahu
hadiahkan nenek dua helai sarung pada harijadi nenek yang ke enam puluh lima. Adi ingat yang itu.
Sebab itu petang ini Adi tahu umur nenek ialah enam puluh tujuh tahun.
“Adi ambil plastik yang sana tu dan
masukkan sigup yang sudah kering tu rata-rata, ahh. Ikut banyak mana yang nenek
sudah masukkan.” Adi tidak banyak kerenah. Adi ikut cakap Indi. Suara Indi
ibarat bunyi yang menghiburkan buat Adi. Hati Adi sayu. Sambil jari-jemarinya
meramas hirisan daun tembakau yang sudah kering dan memasukanya ke dalam
plastik, Adi terkenangkan ibunya. Hatinya sebak. Hubungan ibunya dengan nenek
sangat baik. Walaupun hanya sebagai ibu mentua dan anak menantu. Namun mereka
rapat. Akrab sekali. Sebab itu Adi sangat sayangkan nenek selepas ibunya tiada.
Sewaktu saat-saat terakhir ibunya,
neneklah orang yang paling sedih. Adi ingat lagi apabila nenek pengsan beberapa
kali. Nenek benar-benar kasih adanya. Malah ibu Adi menghembuskan nafas
terakhir di atas pangkuan nenek. Mungkin kerana nenek hanya ada ayah Adi
seorang saja anak, nenek meluahkan kasihnya kepada anak menantunya. Pada Indi,
ibu Adi bukan hanya sebagai anak menantu. Ibu Adi dilayannya sebagai anaknya
sendiri. Itulah nenek. Adi sudah kenal nenek sejak dia kecil lagi.
“Nek, esok cuti sekolah, boleh tak Adi
ikut nenek ke pekan jual sigup?” Sambil memasukkan hirisan-hirisan tembakau
kering ke dalam plastik, Adi cuba
memancing neneknya. Indi faham keadaan Adi. Adi masih kecil. Tahun ini Adi baru
masuk Tahun Tiga. Maknanya umur Adi baru sembilan tahun. Indi terharu melihat
anak kecil ini. Dia tahu perasaan anak kecil. Indi pernah menjadi anak kecil
dahulu. Takkan hari ini Indi sudah lupa kemahuan anak-anak kecil. Tapi Adi lain.
Lain dari yang lain. Indi cuba
menyelami emosinya sendiri. Dia cuba
memujuk perasaannya sendiri.
“Kalau ayah anak ini masih ada, taklah
mereka terperap saja di rumah”. Bisik hati kecil Indi. Indi faham. Indi juga
tahu. Kalaulah anak dan anak menantunya masih ada, anak-anak kecil itu bolehlah
juga menikmati suasana riang sambil menghirup udara sepoi-sepoi basah di pinggiran
pantai seperti anak-anak yang lain. Indi rindukan suasana seperti itu. Bukan
untuk dirinya tapi untuk cucu-cucunya. Itulah isi hati Indi. Memikirkan
semuanya itu, tanpa dia sedari, titik-titik air membasahi pipinya yang agak
kusam itu. Dia rindu sebenarnya. Sebuah kerinduan yang terpahat di dalam
hatinya. Dia rindu untuk membahagiakan cucu-cucunya.
“Tak apa, Adi tolong nenek siapkan kerja
ini, kita tidur awal dan esok kita bangun awal. Kita ‘pigi’ pekan sama-sama”.
Logat tempatan tidak lari dari ucapan lembut yang keluar dari mulut Indi.
Seakan mengiakan permintaan Adi. Adi terus melakukan sedikit kerja yang
neneknya arahkan. Dia suka dan rela. Adi rasa riang sekali waktu itu. Adi perasaan, sewaktu di sekolah, ada
diantara kawan-kawannya yang sering membentak ibu bapa mereka. Walhal ibu-ibu
dan bapa-bapa yang menemani anak-anak mereka ke sekolah ambil berat sangat akan
keberadaan mereka. Adi nampak yang itu. Adi terfikir sendirian. Kenapa ada
anak-anak yang seakan tidak menghormati orang tua mereka? Adi melihat keadaan
dirinya sendiri. Seakan membandingkan antara dia dan kawan-kawannya di sekolah.
Jauh berbeda. Bisik hatinya. Adi faham ibu dan ayahnya tidak akan hidup
kembali. Alangkah bahagianya Adi kalau nostalgia lalu masih mampu diputarkan
kembali. Tapi tidak. Yang lalu tetap akan berlalu. Adi memang mengerti tentang
itu.
Kerja selesai. Adi riang. Ceria. Malah
gembira sekali. Dia mampu membantu menyiapkan kerja ringan yang nenek suruh dia
buat. Adi rasa inilah malam yang paling bahagia buatnya. Esok dia tidak mahu
lepaskan peluang. Agak lama Adi tidak ikut serta dengan nenek ke pekan.
Entah berapa kali dia pusing kiri,
pusing kanan kemudian terkebil-kebil sendirian. Lampu mentol yang hanya
berkuasa lima
watt yang tergantung hampir dengan siling rumah, hanya cukup menerangi ruang
bilik secara samar-samar. Itu dia tidak peduli.
“Esok saya akan ke pekan”. Riang sekali
rasa di hatinya. Kalau boleh, malam-malam begitu pun mahu sahaja dia
bersiul-siul nyaring. Dia kesukaan. Hatinya cukup bahagia. Tapi tidak. Aki
pernah berpesan, malam tak boleh bersiul.
Di ruang bilik sebelah, dengkur Aki agak
kuat. Adi seakan susah hendak lelapkan mata. Adi sedikit terganggu. Maklumlah
bilik tidur Aki dan Indi dengan bilik tidur Adi hanya dipisahkan oleh sekeping
papan lapis setebal enam sentimeter sahaja. Nipis. Tapi itu Adi tidak peduli.
Dia mesti tidur awal. Adi cuba
tutupkan kelopak matanya. Beberapa kali. Berusaha untuk tidur. Namun sukar. Adi
terbayangkan pekan. Ragam manusia. Kuih muih. Barang permainan. Pakaian. Kasut.
Tayangan video di kedai makan India.
Semuanya terbayang di fikirannya. Entah berapa lama dia terkebil-kebil
sendirian. Akhirnya dia tertidur. Nenyak sekali. Seekor dua nyamuk sesat yang
singgah menghisap darah di tubuhnya tidak disedarinya.
“Adi, Adi, Adi tak nak ikut?” Suara
lembut nenek mengejutkan Adi. Secepat kilat Adi terbangun. Adi tahu kalau
mereka lambat, tempat nenek berjaja di pekan nanti akan di ambil orang. Mereka
mesti sampai di pekan lebih awal. Kalau boleh, sebelum ada orang lain. Adi
terus ke bilik mandi. Dia gosok gigi. Mandi. Kemudian bersiap.
Kali ini Adi memang cukup ceria. Sebelum
mereka bertolak, Indi sudah menyediakan sarapan ala kadar untuk mengalas perut
mereka. Taklah lapar sangat. Lagi pun di pekan nanti mereka boleh beli makanan
seadanya. Walaupun pagi masih terang-terang tanah dan embun pagi terasa sejuk,
namun Indi dan Adi terus melangkah. Indi dengan sikutannya penuh dengan
barang-barang jualan. Ada
isi keladi yang telah dikupas kulit, ada ubi kayu, ada ubi keledek, ada ubi
manis, ada kacang panjang, ada kacang bendi, labu putih dan ada buah pinang.
Termasuklah sigup yang telah mereka kemaskan semalam bersama Adi. Kadang kala
Adi tersandung dengan gumpalan-gumpalan tanah yang ada di sepanjang laluan
mereka semasa dalam perjalanan.
Langkah Indi agak panjang. Dia lebih
laju. Adi terpaksa berlari-lari anak untuk mengejar Indi sepanjang perjalanan
itu. Laluan mereka agak jauh. Lebih kurang dua kilometer sebelum mereka tiba ke
jalan besar. Sebuah lorong kampung yang hanya boleh dilalui dengan berjalan
kaki. Ada juga
beberapa pemuda yang menunggang motosikal menggunakan jalan ini. Kalau bukan
kerana nekad, memang mereka agak sukar untuk menggunakan motorsikal mereka
memudiki jalan kampung ini. Laluan ini sudah agak lama. Seingat Adi, laluan
kecil ini sudah ada berbelas tahun dahulu. Itu Adi dengar dari mulut datuknya,
Aki.
“Kalaulah jalan ini dinaiktaraf,
alangkah senangnya perjalanan penduduk kampung berulang alik ke pekan Taklah
susah sangat macam ini”. Adi meluahkan perasaana tanpa sesiapa pun tahu. “Siapalah
saya”. Bisik hati kecilnya lagi cuba
memujuk perasaannya sendiri. Adi mungkin tidak berkemampuan mengubah keadaan
lorong laluan itu dengan keadaannya yang agak kerdil. Tapi sebagai rakyat, dia
berhak menikmati keselesaan kemudahan yang ada sebagaimana di lain tempat.
“Lain tempat, cantik. Indah. Kenapa
tempat kami tidak?” Adi seakan mempersoalkan keadaan perhubungan yang ada di
kampungnya.
Akhirnya mereka tiba di jalan besar. Di sana, sebuah van sudah
menunggu mereka.
“Aii, Adi pun ikut serta hari ini?”
Pemandu van seakan menjemput ketibaan Adi.
“Mastilah, ‘kan hari ini cuti. Jadi saya
ikutlah nenek”. Sahut Adi keriangan, petah sekali.. Dia memang biasa dengan Gaman,
pemilik sebuah van di kampung itu. Gamanlah yang akan membawah sesiapa sahaja
penduduk setempat untuk datang berjaja di pekan. Dia akan berulang alik dari
pekan ke kampung tersebut setiap lima
belas ke dua puluh minit. Inilah sumber
pendapatan Gaman. Dia bersyukur kerana dialah satu-satunya orang yang memiliki
kenderaan di tempatnya. Gaman orang baik dan suka menolong. Kalau ada penduduk kampung
yang tidak ada wang kecil untuk bayaran tambang, dia hanya kata ‘tak apa, lain
kali sajalah’.
Di dalam van Gaman, Adi melihat sudah
ada beberapa orang penumpang beserta dengan barang-barang jualan mereka. Masing-masing
membawa sikutan dan ada juga yang
membawa kotak kertas sarat dengan barang jualan mereka. Adi senang yang ini. Di
sekolah, Adi teringat tentang penjelasan guru darjah mereka. “Berniaga ini
tidak semestinya memiliki kedai besar dan barang jualan bernilai beribu-ribu
ringgit. Berjualan hasil kampung pun boleh dikatakan berniaga juga”. Perkataan
itu tertanam dalam minda Adi.
Van Gaman melaju menuruni sebuah bukit
kecil melalui sebuah jalanraya aspal menuju ke pekan. Adi sempat melihat
sekeliling sepanjang perjalanan. Matahari pagi sudah mulai muncul di ufuk
timur. Sinarannya indah sekali. Emosi Adi terpesona ketika melihat
berkas-berkas cahaya yang menembusi dedaunan kayu yang tumbuh merimbun di sepanjang
jalan. Jiwa Adi terkasima seketika. Adi terbayangkan Aki di rumah. Aki sibuk
dengan kerja-kerja kampung saban waktu. Kalau bukan di kebun getah, Aki akan
membersihkan belukar yang cuba
meranggut ketenteraman rimbunan pokok-pokok pisang di kebunnya. Kalau waktu
pagi Aki di kebun getah menorah, pada sebelah petangnya pula dia akan berada di
batas-batas tanaman pokok-pokok tembakaunya.
“Atuk tak pernah kenal letih.” Adi
bangga dengan datuknya. Dia rajin. Baik dan peramah. Kadang Aki pandai marah
juga sekali-sekala. Pernah sekali Adi tertebang sepohon tembakau apabila dia cuba membantu
Aki merumput batas-batas tanaman pokok tembakau Aki suatu petang. Tapi marah
Aki bukan berbaur kejam. Bukan juga mendera. Aki marah mendidik. Aki sebenarnya
sudah beritahu Adi supaya berhati-hati, jangan sampai pokok tembakau tercentas.
Tapi entah mana silapnya. Dalam diam-diam menebas rumput-rumput kecil,
tiba-tiba parang kontot yang Adi pakai mengenai pangkal pohon tembakau. Apa
lagi, tumbanglah pokok tembakau tersebut.
“Patutnya Adi jangan cuai. Pegang parang
itu baik-baik. Mata tengok betul-betul. Jangan sampai pokok tertebang. Ni dah
tumbang, nak buat apa lagi. Lain kali berhati-hati.” Panjang leteran Aki pada
Adi. Padat dan penuh makna buat Adi. Adi
diam membisu. Seakan mengiakan kesalahannya. Adi tahu pokok tembakau yang
tumbang takkan tumbuh kembali. Cuma daun-daun yang agak tua Aki suruh Adi kumpulkan.
Aki akan hiris halus-halus. Keringkan. Buat sigup. Kesilapan ini menjadi
pengajaran buat Adi. Setiap keterlanjuran tidak akan mampu diperbaiki sesempurna
seperti sedia kala. Kalau baik pun pasti ada kecacatannya.
Van Gaman berlalu dengan kederasan yang
sederhana. Sekali-sekala angin pagi yang agak sejuk tapi nyaman menerpa pipi
gabu Adi. Sekejap-sekejap Adi menyapu rambut yang mengenai dahinya. Dalam
diam-diam, Adi terfikirkan Ida, adiknya. Adi tahu Ida masih kecil. “Kesian Ida”.
Bisik hati kecil Adi. Kalau ibu masih ada, pasti Ida bahagia. Adi juga tahu
adiknya belum faham apa-apa tentang hidup. Pernah suatu ketika Ida bertanya
kepada Adi tentang ayah dan ibu mereka. Kenapa ibu dan ayah tidak datang-datang
menjenguk mereka. Ida rindu ayah. Ida juga rindukan ibunya. Adi tahu Ida
memerlukan waktu untuk memahami semuanya itu. Sewaktu ayah dan ibunya meninggal
dunia, Ida baru berumur sekitar dua tahun. Ertinya dia hanya berumur empat
tahun kini.
Kalau hari-hari biasa, Ida lebih senang
tinggal di rumah Aki dan Indi. Dia suka berkawan dengan Cencen. Cencenlah saja
sahabat yang paling akrab dengan Ida selain abangnya Adi. Cencen menjadi sahabat
karibnya. Kadang-kala Ida akan bercakap-cakap sendirian dengan Cencen. Cencen
juga manja dengan Ida. Ada
kalanya Cencen tertidur dipangkuan Ida. Adi sayu sendirian apabila melihat
semuanya itu. Walaupun Adi masih budak kecil tapi dia faham dengan keadaan
adiknya. Adi sayangkan adiknya lebih dari segalanya. Setiap kali Adi balik dari
sekolah, tidak pernah dia tidak membawakan apa-apa oleh-oleh untuk adiknya. Jika
Aki atau Indi memberinya wang untuk belanja di sekolah, Adi lebih rela tidak
mahu makan. Dia akan belikan sesuatu untuk adiknya. Kadang dia belikan kuih
pisang, mee goreng, keropok atau minuman kotak untuk dia bawa pulang untuk
adiknya. Adi memang mempunyai hati yang luhur. Sikap mulia yang tertanam jauh
ke dalam sanubari anak lelaki kecil ini tidak lain tidak bukan adalah warisan
tunjuk ajar ibu dan ayahnya sejak kecil. Aki dan Indi juga sangat kagum dengan anak
kecil ini.
Pernah satu ketika Adi balik dari
sekolah lebih awal. Keadaannya tidak seperti biasa. Aki nampak langkah Adi
longlai. Tidak bersemangat seperti selalu. Indi juga nampak. Indi tidak
membuang masa. Sepantas yang boleh Indi sudah memegang Adi. Indi tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan
Adi.
“Panas!” bisik hati kecil Indi. Indi
tahu Adi demam. Indi tidak mahu cucunya bertambah tenat. Indi mahu cucunya
cepat sembuh. Itulah kegembiraan Indi yang utama. Indi mahu semua anggota
keluarganya sihat. Mereka sihat, Indi pun bahagia.
Pengalaman hidup yang ada tidak
membuatkan Indi kelam kabut. Dia tidak panik. Dengan cepat Indi mencari
beberapa rumput yang tumbuh meliar di persekitaran rumah mereka. Dia cabut beberapa
jenis rumput dan mengambil akar rumput-rumput tersebut. Bersihkanya. Kemudian
Indi menjerang air. Selepas air mendidih, Indi tuangkan ke dalam gelas yang
sudah dia masukan akar rumput liar tadi. Indi menyuapkan air yang masih agak
suam itu ke dalam mulut Adi. Perlahan-lahan tapi berterusan sehingga semua air
yang ada dalam gelas tersebut habis.
Kurang dari sepuluh minit, tubuh badan
Adi mula berpeluh. Petang itu, Adi tidak perlu dibawa ke klinik. Dia sudah
sihat. Dia sudah boleh membantu Indi di dapur untuk menyediakan makan malam
mereka pada hari itu. Indi tahu Adi anak yang bersemangat. Kalau boleh Adi mahu
melawan segala kelemahannya dengan semangat yang ada. Semangat kental yang
tidak mudah menyerah. Itulah Adi yang Aki dan Indi kenal.
“Adi bawakan kerusi kecil ini di tempat
yang selalu nenek berjaja, jangan ada orang lain ambil tempat kita.” Seru nenek
setibanya mereka di pekan. Nampaknya mereka datang lebih awal. Keadaan pekan
masih agak lengang. Kebanyakan kedai masih belum buka lagi. Adi berlari-lari
anak ke sebuah kaki lima
kedai yang selalu Indi gunakan untuk berjaja. Dia meletakkan kerusi kecil itu
di sana. Kedai
ini terletak dua pintu kedai dari hujung blok kedai-kedai yang ada. Kepunyaan
seorang taukey Cina. Orangnya agak gempal tapi baik hati dan peramah. Kaki lima kedai ini berlantaikan
mosaik. Bersih dan berkilat. Indih berjaja di sini sudah sekian lama. Mulanya
ada juga beberapa pegawai penguasa pekan yang menegur Indi dan mengarahkannya
untuk berpindah saja ke tempat lain. Namun tidak lama kemudian Indi beserta
beberapa lagi orang yang selalu berjaja di kawasan tersebut, diberi kebenaran
dengan syarat mereka mesti membayar beberapa ringgit setiap kali berjaja. Indi
bersyukur. Apalah sangat dengan jualan mereka orang kampung. Kadang kala ada,
kadang kala tiada. Bayar tambang van Gaman pun adakalanya tidak cukup. Namun
Indi tidak pasrah. Dia berusaha untuk memperbanyak barang-barang jualan.
Terutamanya hasil tanaman kampung.
Indi gembira hari ini. Barang-barang yang
Indi jual agak laku. Ubi kayu, ubi keledek, ubi rembat, kacang bendi, kacang
panjang semuanya habis terjual lebih awal. Pelangannya pelbagai. Ada Cina. Ada Kadazan. Ada Dusun. Ada Melayu. Orang Berunai
pun ada. Beberapa bungkusan sigup dalam plastik pun ada banyak yang terjual.
Satu bungkusan sigup, Indi jual hanya dalam tiga ringgit saja. Seringgit lebih
murah dari rakan-rakan seperniagaannya. Ada
ramai kawan dan kenalan Indi turut membeli sigup. Malah Indi menjamu mereka
dengan sirih sebelum mereka membeli. Adi turut gembira. Dia tersenyum-senyum
riang. Pagi itu Indi tidak cukup tangan untuk melayan pelanggan. “Nasib baik
Adi ada ikut serta”. Bisik hati Indi dengan penuh kesyukuran.
Suasana hiruk pikuk pekan mula terasa.
Adi benar-benar gembira. Matanya melilau melihat pelbagai gelagat manusia. Dia
nampak beberapa orang anak pendatang berkejar-kejaran kian kemari. Tendang
menandang. Seakan meniru aksi kung fu. Adi tahu mereka pendatang kerana bahasa
dan logat mereka bercakap sesama sendiri, Adi dengar. Ada juga beberapa anak orang tempatan yang
merengkek-rengkek. Yang ini Adi faham. Faham sangat. Anak ini menunjuk kearah
barang-barang permainan. Pistol mainan. Adi pasti anak ini menangis kerana mahu
dibelikan alat mainan. Adi tak hairan. Dia tahu perasaan anak-anak. Kalau boleh
dia pun mahu memiliki salah satu alat permainan tersebut. Tapi Adi sedar siapa
dia. Adi tahu kemampuan Indi, neneknya.
“Banyak lagi barang yang lebih perlu
daripada barang mainan”. Cetus emosi Adi seakan memujuk perasaannya sendiri.
Sebenarnya Adi memang biasa sangat
dengan pekan ini. Kalau dia dibiarkan sendirian pun, Adi tahu dia tidak akan
sesat. Lagi pun pekan ini tidaklah luas sangat. Cuma kadang kala dia agak seram
apabila dia berjalan sendirian. Ada
banyak muka-muka yang asing baginya. Sangat asing. Dulu, sewaktu nenek
membawanya ke pekan ini buat pertama kali, Adi hanya nampak wajah-wajah yang
sangat biasa dalam pemandangannya. Wajah-wajah tempatan yang agak cerah. Kini
ada wajah-wajah yang agak gelap. Adi tahu yang ini sebab Adi dengar logat
percakapan mereka. “Luar biasa”. Bisik hati Adi. Bahasa yang memang asing
baginya. Sepatah pun Adi tak faham. Tapi itu semua Adi tak peduli. Adi tahu
semuanya ini adalah tanggungjawab pemerintah dan kerajaan.
Di suatu sudut Adi terlihat sekujur
tubuh. Kenapa dia? Siapa dia? Orang siapakah dia? Semua persoalan ini muncul di
fikiran Adi. Adi memberanikan diri menghampiri sekujur tubuh ini. Adi lihat
tubuh badan orang itu bergoyang-goyang. Memusingkan tubuh menghadap dinding.
“Masih hidup”. Berdetak hati Adi. Adi sedikit terkejut. Adi kebingungan. Mana
mungkin ada orang sanggup tidur di kaki lima
kedai. Tapi yang ini benar-benar orang. Adi merenung raut wajah orang yang
sedang berbaring tersebut. Comot dan kotor. Mulutnya terkumat-kamit. Rambutnya
tidak terurus. Berselirat tak tentu arah.
“Patutlah”. Bisik hati kecil Adi apabila
dia terpandang kepada sebiji botol berwarna hijau gelap terletak tidak berapa
jauh dari kepala orang tadi. Tersimpan serba longgar dalam beg plastik yang
agak kotor. Adi cuba
mengintai-intai botol itu. Ada
balutan kertas dengan imej berupa cap. Cap yang agak biasa bagi Adi. Cap kepala
harimau. Di kampung, Adi perrnah dengar orang sebut isi botol itu secara berseloroh
sebagai ‘susu harimau’.
“Ini mesti minuman keras”, getus fikiran
Adi cuba menyakinkan dirinya sendiri.
Dalam kecil-kecil begitu, Adi
kadang-kala tidak faham dengan tabiat orang sekaumnya sendiri. Ada yang langsung tidak memikirkan masa
depan. Malah ramai anak muda yang lebih suka membuang masa. Mereka minum
minuman keras tanpa terkawal. Ada
juga kejadian pergaduhan berlaku apabila mereka sudah mabuk. Bahkan ada
diantara mereka yang sudah kerap kali masuk lokap polis namun tidak
serik-serik. Inilah yang membuatkan Adi tertanya-tanya. “Sampai bila?” soal
hati kecil Adi. Tiada individu yang paling sesuai untuk Adi ajukan persoalan
itu. Malah bukan seorang dua yang sudah pandai menghisap rokok dikalangan
anak-anak muda yang ada di kampungnya. Berpuluh orang. Rata-rata anak muda yang
pernah Adi jumpa semuanya pandai ‘berasap’.
“Apa kau mahu? Apa tengok-tengok?” Adi
terkejut beruk. Sepantas kilat Adi melarikan diri dari orang yang sedang
berbaring tadi.
“Sudahlah kotor, pemarah pula. Tidak
sedar diri. Memalukan kaum sendiri.” Adi luahkan kemarahan dan kegeraman pada
dirinya sendiri. Adi tahu orang tersebut sihat, sasa dan tangkas. Tidak
sepatutnya bermalas-malas sedemikian. Tidak sepatutnya menjadi gelendangan di
kampung sendiri. Di pekan sendiri. Benar-benar memalukan ibubapa. Adi mengerutu
sendirian. Sambil berjalan seadanya kearah nenek yang sedang berjualan, Adi
sempat membandingkan keadaan orang tadi dengan neneknya. Nenek dah berumur tapi
tidak pernah kenal putus asa. Malah tidak kenal letih dan lelah walaupun dia
lesu. Nenek sentiasa berusaha untuk mencari rezeki dengan khudrat yang ada
padanya. Kalau Adi lihat dan bandingkan usaha nenek dengan keadaan orang tadi,
amat jauh berbeza. Adi belajar melalui keadaan ini. Setiap perkara dan suasana
menjadi pengajaran hidup bagi Adi.
“Adi tak lapar? Nah, ambil duit ni.
Pergilah beli apa yang Adi suka mahu makan.” Terharu benar emosi Adi. Adi tahu
duit nenek tidaklah seberapa. Walaupun pagi itu ada ramai pelanggan yang
membeli jualan nenek tapi jualan nenek bukannya bernilai ratusan apa lagi
ribuan ringgit. Adi memang faham. Adi menghulurkan tangannya juga. Mengganggam
wang yang Indi bagi. Wang kertas warna hijau. Lima ringgit.
“Terima kasih nek.” Sahut Adi selepas
mengambil wang huluran nenek. Adi mengambil wang yang nenek bagi pun dengan
cara yang lembut sekali. Bukan seperti kebanyakan anak-anak yang sebaya
dengannya. Merentap kemudian berlalu pergi. Bahkan wang yang diberikan pun
seakan tidak mencukui. Kebanyakannya mencabik mulut seakan menunjukkan kekecewaan.
Jauh sekali dari mengucapkan terima kasih. Seolah-olah wang itulah
sagala-galanya. Siapa yang bagi, mereka tidak peduli. Mereka hanya fikir wang
ada di genggaman mereka. Tapi Adi tidak. Adi lain dari yang lain. Adi memang
anak yang baik. Dia tahu bagaimana mahu berterima kasih. Adi tahu dari mana
asal usulnya. Adi faham bagaimana tingginya langit itu. Adi juga tahu yang dia
sedang berada di daratan. Berpijak di bumi nyata.
“Wah, banyak ini.” Bisik hati kecil Adi.
Adi teringatkan adiknya Ida. Perlahan-lahan dia menuju ke satu deretan gerai.
Gerai menjual kuih-muih. Adi sudah berkira-kira mahu membeli sesuatu untuk Ida,
adiknya dan juga Aki, datuknya. Sebenarnya Adi tidak mempunyai kejutan apa-apa
untuk dua orang yang amat Adi sayangi ini. Adi hanya mahu memberi. Jika dia
mempunyai sesuatu, orang lain pun patut merasainya juga. Itu isi hati kecil Adi.
Tulus dan ikhlas. Dia tidak pernah mengharapkan belasan apa-apa. Sebab itu Adi
tidak mengerti dan tidak faham bagaimana untuk memberikan sesuatu sebagai
kejutan. Adi fikir dia tidak ada apa-apa kejutan pun.
Pernah sekali, sewaktu masa rehat di
sekolahnya, Adi perasaan ada seorang kawan sekolahnya sedang teresak-esak
menangis. Orang tidak pedulikan murid ini. Tapi Adi perasaan. Dia
menghampirinya. Dia cuba
bertanya kenapa. Kawan sekolah ini meluahkan segalanya. Wang pemberian ibunya
untuk makan waktu rehat hilang. Entah hilang di mana. Dia tak sedar. Adi tak
banyak bicara. Diberinya dua ringgit kepada kawannya itu. Dia rela tidak makan
daripada melihat seseorang dalam kekecewan. Adi tidak faham dengan dirinya sebenarnya.
Tapi ada sesuatu kelainan di dalam sanubarinya. Dia mudah merasa kasihan.
Kasihan yang bukan dibuat-buat. Emosinya juga mudah tersentuh. Inilah sikap
unik Adi. Malah ada juga di kalangan guru sekolahnya yang perasaan dengan
tingkah laku Adi ini. Mereka kagum dengan Adi. Guru-gurunya faham benar kenapa
Adi mempunyai ramai teman di sekolahnya. Ada
diantara teman-temannya sudah berada di kelas yang lebih tinggi dari dia
sendiri. Ada yang tahun lima. Malah ada yang sudah di tahun enam.
Rata-rata murid-murid di sekolah tersebut suka berkawan dengan Adi. Namun Adi
tidak pernah mengambil kesempatan dengan popularitinya itu. Dia sentiasa sedar
siapa dia.
Pernah Adi terbaca di surat khabar
mengenai pembulian. Ada
pelajar yang suka membuli pelajar lain. Adi juga pernah baca mengenai kejadian
maut akibat buli di beberapa sekolah. Gangsterisme juga pernah Adi dengar.
Malah ada banyak berita yang memilukan pernah Adi baca di dada-dada akhbar
tempatan. Kejadian bunuh. Rogol. Perompakan. Pecah rumah dan banyak lagi. Malah
bunuh ibubapa pun Adi pernah baca. Bahkan ada diantara kejadian yang dahsyat
ini dilakukan oleh orang-orang muda. Adi merasa seram dengan berita-berita ini.
Adi bingung memikirkan mengapa perkara-perkara menggerunkan ini berlaku. Adi menggelengkan kepalanya sendiri. Beberapa
orang yang berselisih dengan Adi kebingungan dengan gelagatnya.
“Kuih wazit bagi saya harga satu
ringgit. Kuih lenggang pun satu ringgit. Yang ini kuih bulan, bagi saya
sekeping”. Pinta Adi kepada penjual kuih-muih apabila dia berada di hadapan
sebuah gerai menjual kuih-muih. Adi terliur-liur sendirian apabila melihat
pelbagai juadah yang dijual. Tapi Adi sudah pahatkan dalam hatinya. Dia mahu
belikan kuih-kuih itu untuk Ida dan Aki. Adi tahu mereka sedang menunggu
kepulangan Adi dan Indi dari pekan. Walaupun Adi tahu Aki sudah masak seadanya
pada tengah hari itu tapi Adi mahu juga bawakan sesuatu. Adi tahu pemberian ini
tidaklah banyak mana tapi sekurang-kurangnya ada buah tangan untuk mereka.
“Ini bakinya ‘dik. Terima kasih, ya”.
Penjual kuih menghulurkan satu ringgit lima
puluh sen baki duit Adi.
“Terima kasih kembali”. Adi menyambut
dengan sopan sekali. Adi tahu tidak ada gunanya dia bersikap kasar. Inilah
sifat-sifat yang ada pada diri Adi. Bukan dibuat-buat. Bukan sekali-sekala.
Bukan hanya apabila ada orang melihat. Bukan hanya apabila dia dipuji. Tapi
setiap masa. Itulah sifat-sifat semulajadi diri Adi.
“Nek, ini bakinya nek”. Adi
mengambalikan satu ringgit lima
puluh sen baki duit yang nenek bagi tadi.
“Tak apalah Adi. Adi ambillah”. Indi
menyahut lembut kata-kata Adi. Nenek tahu seringgit lima puluh sen banyak manalah sangat.
“Nek, Adi beli kuih wazit, kuih lenggang
dan kuih bulan”. Adi seakan melapur diri kepada Indi. Adi cuma mahu bersikap
jujur. Tidak lebih dari itu. Adi memasukkan kuih-kuih yang sudah dibelinya ke
dalam sebuah raga dalam sikutan Indi.
“Adi makanlah. Adi laparkan, makanlah”.
Nenek seakan menyuarakan pedulinya terhadap cucu kesayangannya itu. Indi faham
sangat dengan cucunya itu. Pernah Indi dengar mengenai anak-anak yang sangat
dimanjakan sehingga memijak kepala ibubapa sendiri. Indi tahu kalau semua
kemahuan anak-anak ditunaikan tanpa usul periksa, anak-anak akan menjadi
diktator dalam kehidupan mereka sendiri. Akhirnya mereka beranggapan bahawa setiap
kemahuan mereka patut dipenuhi tanpa tantangan. Mereka akan mudah memberontak.
Malah ada kes dimana anak-anak sanggup mencederakan orang tua mereka sendiri
hanya kerana permintaan mereka tidak dipenuhi. Indi faham benar keadaan ini.
Indi sudah lama maklum mengenai situasi ini. Sebab itu Indi sentiasa
berhati-hati dengan dua orang cucunya, Adi dan Ida.
Indi faham, walaupun mereka tinggal di
kampung, tapi pencarobah hidup sentiasa mengintai kehidupan. Terutamanya
terhadap kehidupan anak-anak muda. Cucu-cucunya sendiri.
Jam sudah menunjukkan pukul satu empat
puluh petang. Sebuah radio kecil dari kedai menjual alat-alat elektrik biasa
kepunyaan seorang India,
sedang berbunyi tidak jauh dari tempat Indi berjajah. Radio kecil ini
mengumandangkan lagu-lagu dari Suria FM. Sekali-sekala masa waktu-waktu
tertentu dikeudarakan. Adi tahu waktu itu sudah petang. Bukan hanya kerana
radio kecil mengumumkannya tapi matahari sudah semakin condong ke arah barat.
“Adi, mari tolong nenek bawahkan barang
ini ke van Gaman”. Indi memohon pertolongan Adi. Adi tidak mengambil masa yang
lama untuk mengangkat barang-barang yang ada. Adi sangat senang melakukan
kerja-kerja yang dia anggap sangat mudah itu. Sebenarnya Adi sudah terbiasa
melakukan kerja yang lebih berat dari itu.
“Terima kasih abang, terima kasih abang”.
Ida tidak puas-puas mengucapkan terima kasih kepada Adi. Ida tahu abangnya
sangat sayangkan dirinya. Adi ambilkan pinggan kemudian memasukkan kuih-kuih
yang dia sudah beli di pekan tadi. Ida sangat suka. Ida masih kecil tapi dia
tahu peraturan. Sebelum dia makan, dia basuh tangannya terlebih dahulu. Adilah
yang selalu memperingatkanya tentang hal itu. Akhirnya peraturan yang sangat
mudah itu menjadi tabiat murni kepada perempuan kecil ini. Ida adik Adi, senang
menurut apa jenis peraturan pun.
Walaupun Ida suka dengan kuih-kuih yang
ada di depannya tapi dia tidak lahap. Tidak gelojoh. Malah dia makan dengan
sopan sekali. Bahkan dia sendiri mempelawa atuk, nenek dan Adi makan bersama.
Bahagianya rasa di hati. Aki turut menghidangkan masakan ala kadarnya tengah
hari itu. Jantung pisang campur ikan masin masak santan. Sedap sekali. Pandai
Aki masak. Petang itu Adi agak berselera. Dua pinggan dia habis licin. Ida pun
apa kurangnya. Selepas sebatang kuih lenggang dan masing-masing sepotong kuih
wazit dan kuih bulan, Ida masih berselera menghabiskan semangkuk nasi sedang
besarnya dilumuri lauk yang Aki masak. Sedap, memang sedap. Indi pun turut
berselera. Namun selera Indi tidak seberapa. Tidak sama seperti beberapa tahun
yang lalu. Maklumlah umur sudah agak lanjut.
Pagi itu, Adi bersiap-siap untuk ke
sekolah. Beg galas yang selalu dia pakai, dicapainya. Semalam lagi dia sudah
kemaskan buku-buku yang harus dia bawa pagi itu berdasarkan jadual yang cikgu
darjahnya bagi dari awal tahun lagi. Dia tidak perlu tunggu disaat-saat akhir.
Sepanjang perjalanan ke sekolah, hati
Adi agak resah. Indi sudah seminggu kurang sihat. Indi selalu mengadu kepalanya
agak berat akhir-akhir ini. Hampir setiap malam Adi sentiasa di sisi Indi. Adi
tidak pun merasa terbeban mengurut kaki, tangan, belakang malah bahagian dahi dan
pelipis kepala nenek. Cuba
untuk meringankan sakit kepala yang Indi sedang tanggung. Berbotol ubat gosok
sudah kosong. Namun sakit kepala Indi tidak juga sembuh.
Sehari yang lalu Aki ada membawa Indi ke
Poli Klinik. Dia cuma diberi ubat antibiotik, beberapa biji vitamin berwarna
kuning dan sebotol paracetamol. Aki, Adi dan Ida semakin susah hati. Tapi
Adilah yang paling risau. Adi tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan.
Adi masih mempunyai keyakinan bahawa Indi, neneknya yang dikasihi akan sembuh
seperti sediakala. Hampir setiap saat, Adi memanjatkan doa kepada Yang Maha
Kuasa agar memulihkan kesihatan Indi.
Adi sudah berada di bilik darjah seawal
jam tujuh pagi itu. Pagi itu Adi rasa masa berlalu dengan lambat sekali. Adi
cuma mahu tunggu bilakah kelas terakhir hari itu akan selesai. Walaupun
fikirannya bercelaru namun dia tetap memberikan perhatian sepenuhnya apabila
guru-guru bagi subjek masing-masing masuk mengajar. Adi tidak mahu menjadi
murid yang acuh tak acuh. Indi menjadi objek utama dalam minda Adi sepanjang
pagi itu.
Sehabis kelas terakhir pada hari itu,
Adi terus balik ke rumah. Dalam fikirannya cuma Indi, neneknya. Langkahnya agak
kecil tapi dipercepatkanya. Tengah hari itu cuaca agak panas. Matahari memancar
dengan terik sekali. Panasnya seakan menusuk tulang. Adi tidak pedulikan
semuanya itu. Dia cuma mahu sampai di rumah secepat yang boleh.
Dari kejauhan, Adi melihat persekitaran
rumah Aki dan Indi. Sayup-sayup kelihatan ada ramai orang di rumah tersebut.
“Luar biasa”. Bisik hati kecil Adi. Dia teruskan perjalanan. Dekat dan semakin
dekat dengan rumah Aki, datuknya.
“Kalau ada apa-apa, mesti atuk menjemput
saya di sekolah lebih awal”. Adi seakan memujuk hatinya sendiri.
“Jangan-jangan …”. Adi tidak sanggup
meneruskan bisikan hati kecilnya. Dia terus melangkah. Di sana dia lihat Tok Penghulu, Jerban,
wanita-wanita separuh umur, ramai pemuda dan beberapa gadis sunti sedang
memerhatikannya.
“Atuk mana? Ida mana”? Adi menjadi kelam
kabut. Di satu penjuru, Cencen terkurung dalam kurungan khas. Terikat rapi. Adi
tidak pedulikan semuanya itu. Dia menerobos masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu
ada sekujur tubuh ditutupi kain putih.
“Abang Adi, nenek …”. Ida tidak sempat
melanjutkan kata-katanya. Dua adik beradik itu berpelukan dalam tangisan pilu.
Kedua-duanya tidak mampu menahan air mata.
Suasana petang itu diseliputi kesedihan. Aki tidak sanggup berdiri dari
tempatnya bersila dekat dengan Indi, isteri yang amat dikasihinya.
“Nenek, nenek. Kenapa nenek tinggalkan
Adi? Nenek, jangan tinggalkan Adi!” Raung Adi tanpa mempedulikan sekelilingnya.
Adi benar-benar tidak mahu kehilangan neneknya. Pandangan Adi menjadi
samar-samar. Kemudian gelap. Adi pengsan. Kasih Adi kepada neneknya tidak
berbelah bagi.
“Nenek … Abang Adi …” raung Ida petang
itu. Anak kecil yang baru mahu mengenal erti kehidupan.
Semua orang tertunduk. Sedih. Pilu. Tok
Penghulu tak sanggup menahan tangis. Jerban dari awal lagi sudah teresak-esak.
Menangis. Pemergian Indi benar-benar dirasai.
2 comments:
Hi. I really enjoyed my brief visit on your site and I’ll be sure to be back for more.
Can I contact your through your email?
Please email me back.
Thanks!
Kevin
kevincollins1012 gmail.com
Terima kasih berkunjung ke blog kesayangan ini.
Post a Comment