My Dear Friend, If You Want To Receive Very New And Hot Entry, Follow Me Here

Let Me have An Easy Way To Reach You Back

Please Press Once And I'll Press YoursToo

Your IP Address is:

Need Another Language For This Site?

Servise Peti Sejuk & Penyamanan Udara

Exchange Banner With Me?

Gaya View.
Copy and paste this code into your web:

Very Hot Entry You Might Like

Read Popular Malaysia News Paper Daily

Updated Everyday. Just Follow Here:
Popular Malaysia News Paper

Wednesday, September 24, 2014

Nenek, Jangan Tinggalkan Adi



Adi hairan. Tengah hari itu orang terlalu banyak. Ramai sangat. Tidak seperti hari-hari yang sudah lalu. Dalam hati, Adi terfikir-fikir sendirian. Mencari jawapan yang tidak pasti. Kenapa? Kenapa hari ini rumah Aki dan Indi ramai orang? Selalunya keadaan rumah Indi dan Aki tidak sesibuk ini, fikir Adi. Ida, adiknya tidak ada menyambut kepulangannya tengah hari ini seperti hari-hari yang sudah. Entah kenapa. Jiwanya mula resah. Resah mencari jawapan. Kelibat Aki pun dia tak nampak. Indi di mana? Perasaan Adi tambah gelabah. Adi nampak Tok Penghulu mundar-mandir di halaman rumah Aki dan Indi. Jerban pun dia nampak. Ada ramai perempuan setengah usia turut sama berada di sana. Beberapa pemuda sasa juga sedang berdiri tidak jauh dari Tok Penghulu dan Jerban. Beberapa orang gadis sunti tersenyum-senyum kambing melihat Adi. Namun pada setiap wajah kelihatan muram. Tidak berseri seperti kebiasaan. Adi tambah kebingungan. Kenapa?

Aki dan Indi sudah lama tinggal di kampung itu. Mereka terkenal dengan budi pekerti yang indah dan mulia. Mereka suka menolong. Tak kira apa jenis pertolongan. Hari itu keluarga Jerban mengadakan majlis kesyukuran anak bungsu mereka. Aki dan Indi tidak ketinggalan datang ke rumah Jerban. Menghulurkan tangan untuk membantu apa-apa yang terdaya. Dua minggu sebelumnya, kerbau Tok Penghulu terlepas dari kandang, Akilah orang yang pertama datang kepada Tok Penghulu membantu menangkap semula kerbau tersebut. Orang kampung senang sekali dengan Aki dan Indi. Tanyalah siapa saja. Bermula dari anak-anak muda kepada orang dewasa malah orang veteran pun sehati dan sekata mengiakan kebaikan Aki dan Indi.

“Adi, Adi boleh tolong nenek kemaskan barang-barang ini?” laung Indi dari arah dapur. Mengusik lamunan Adi petang itu. Adi faham keadaan dia dan adiknya, Ida. Aki dan Indilah tempat mereka bergantung. Tanpa Atuk dan Indi, Adi rasa dunia ini gelap dan suram. Ibu dan ayah mereka telah pergi mendahului mereka beberapa tahun yang lalu. Walaupun Adi masih kecil tapi dia faham benar erti keperitan hidup. Pengalamanlah yang mengajarnya.

Malam itu, Adi rasa tidak senang. Juga tidak tenang. Apa yang dia lakukan serba tak kena. Sewaktu dia mengambil air untuk minum, tanpa sengaja gelas jatuh. Pecah berkecai di atas lantai semen rumah mereka. Sekitar jam 7.30 malam, sebuah kereta peronda polis datang. Adi cuma ingat polis mengatakan sebuah kereta proton saga berwarna kelabu terlibat dalam kemalangan. Apabila nombor pendaftaran kereta itu disebut, keresahan Adi bertambah. Dia tahu nombor pendaftaran kereta itu adalah kereta milik ayahnya. Tidak lain. Ida hanya terlopong mendengar semua keterangan polis tadi. Dua adik beradik ini esak-esak dalam tangisan. Mulai saat itu, Aki dan Indilah yang menjaga makan pakai mereka. Ayah Adi sebenarnya anak kepada Aki. Sebab itu Adi tidak segan dengan Aki dan Indi. Aki ambil alih tanggungjawab sebagai ayah kepada Adi dan adiknya, Ida. Indi pula mengambil peranan sebagai ibu kepada mereka berdua.

“Yang itu Adi masukkan ke dalam plastik, ya.” Suara Indi lembut tapi jelas. Adi melihat tangan neneknya yang agak berkeriput. Adi faham benar keadaan neneknya. Nenek sudah berumur. Seingat Adi nenek berumur dalam lingkungan enam puluh tujuh tahun. Dua tahun yang lalu Adi masih ingat apabila ayahnya menghadiahkan Indi dua helai sarung berbunga indah. Indah sekali. Adi masih ingat pesan ayah tentang hadiah itu. Ayah kata dia mahu hadiahkan nenek dua helai sarung pada harijadi nenek yang ke enam puluh lima. Adi ingat yang itu. Sebab itu petang ini Adi tahu umur nenek ialah enam puluh tujuh tahun.

“Adi ambil plastik yang sana tu dan masukkan sigup yang sudah kering tu rata-rata, ahh. Ikut banyak mana yang nenek sudah masukkan.” Adi tidak banyak kerenah. Adi ikut cakap Indi. Suara Indi ibarat bunyi yang menghiburkan buat Adi. Hati Adi sayu. Sambil jari-jemarinya meramas hirisan daun tembakau yang sudah kering dan memasukanya ke dalam plastik, Adi terkenangkan ibunya. Hatinya sebak. Hubungan ibunya dengan nenek sangat baik. Walaupun hanya sebagai ibu mentua dan anak menantu. Namun mereka rapat. Akrab sekali. Sebab itu Adi sangat sayangkan nenek selepas ibunya tiada.

Sewaktu saat-saat terakhir ibunya, neneklah orang yang paling sedih. Adi ingat lagi apabila nenek pengsan beberapa kali. Nenek benar-benar kasih adanya. Malah ibu Adi menghembuskan nafas terakhir di atas pangkuan nenek. Mungkin kerana nenek hanya ada ayah Adi seorang saja anak, nenek meluahkan kasihnya kepada anak menantunya. Pada Indi, ibu Adi bukan hanya sebagai anak menantu. Ibu Adi dilayannya sebagai anaknya sendiri. Itulah nenek. Adi sudah kenal nenek sejak dia kecil lagi.

“Nek, esok cuti sekolah, boleh tak Adi ikut nenek ke pekan jual sigup?” Sambil memasukkan hirisan-hirisan tembakau kering ke dalam plastik, Adi cuba memancing neneknya. Indi faham keadaan Adi. Adi masih kecil. Tahun ini Adi baru masuk Tahun Tiga. Maknanya umur Adi baru sembilan tahun. Indi terharu melihat anak kecil ini. Dia tahu perasaan anak kecil. Indi pernah menjadi anak kecil dahulu. Takkan hari ini Indi sudah lupa kemahuan anak-anak kecil. Tapi Adi lain. Lain dari yang lain. Indi cuba menyelami emosinya sendiri. Dia cuba memujuk perasaannya sendiri.

“Kalau ayah anak ini masih ada, taklah mereka terperap saja di rumah”. Bisik hati kecil Indi. Indi faham. Indi juga tahu. Kalaulah anak dan anak menantunya masih ada, anak-anak kecil itu bolehlah juga menikmati suasana riang sambil menghirup udara sepoi-sepoi basah di pinggiran pantai seperti anak-anak yang lain. Indi rindukan suasana seperti itu. Bukan untuk dirinya tapi untuk cucu-cucunya. Itulah isi hati Indi. Memikirkan semuanya itu, tanpa dia sedari, titik-titik air membasahi pipinya yang agak kusam itu. Dia rindu sebenarnya. Sebuah kerinduan yang terpahat di dalam hatinya. Dia rindu untuk membahagiakan cucu-cucunya.

“Tak apa, Adi tolong nenek siapkan kerja ini, kita tidur awal dan esok kita bangun awal. Kita ‘pigi’ pekan sama-sama”. Logat tempatan tidak lari dari ucapan lembut yang keluar dari mulut Indi. Seakan mengiakan permintaan Adi. Adi terus melakukan sedikit kerja yang neneknya arahkan. Dia suka dan rela. Adi rasa riang sekali waktu itu.  Adi perasaan, sewaktu di sekolah, ada diantara kawan-kawannya yang sering membentak ibu bapa mereka. Walhal ibu-ibu dan bapa-bapa yang menemani anak-anak mereka ke sekolah ambil berat sangat akan keberadaan mereka. Adi nampak yang itu. Adi terfikir sendirian. Kenapa ada anak-anak yang seakan tidak menghormati orang tua mereka? Adi melihat keadaan dirinya sendiri. Seakan membandingkan antara dia dan kawan-kawannya di sekolah. Jauh berbeda. Bisik hatinya. Adi faham ibu dan ayahnya tidak akan hidup kembali. Alangkah bahagianya Adi kalau nostalgia lalu masih mampu diputarkan kembali. Tapi tidak. Yang lalu tetap akan berlalu. Adi memang mengerti tentang itu.

Kerja selesai. Adi riang. Ceria. Malah gembira sekali. Dia mampu membantu menyiapkan kerja ringan yang nenek suruh dia buat. Adi rasa inilah malam yang paling bahagia buatnya. Esok dia tidak mahu lepaskan peluang. Agak lama Adi tidak ikut serta dengan nenek ke pekan.

Entah berapa kali dia pusing kiri, pusing kanan kemudian terkebil-kebil sendirian. Lampu mentol yang hanya berkuasa lima watt yang tergantung hampir dengan siling rumah, hanya cukup menerangi ruang bilik secara samar-samar. Itu dia tidak peduli.

“Esok saya akan ke pekan”. Riang sekali rasa di hatinya. Kalau boleh, malam-malam begitu pun mahu sahaja dia bersiul-siul nyaring. Dia kesukaan. Hatinya cukup bahagia. Tapi tidak. Aki pernah berpesan, malam tak boleh bersiul.

Di ruang bilik sebelah, dengkur Aki agak kuat. Adi seakan susah hendak lelapkan mata. Adi sedikit terganggu. Maklumlah bilik tidur Aki dan Indi dengan bilik tidur Adi hanya dipisahkan oleh sekeping papan lapis setebal enam sentimeter sahaja. Nipis. Tapi itu Adi tidak peduli. Dia mesti tidur awal. Adi cuba tutupkan kelopak matanya. Beberapa kali. Berusaha untuk tidur. Namun sukar. Adi terbayangkan pekan. Ragam manusia. Kuih muih. Barang permainan. Pakaian. Kasut. Tayangan video di kedai makan India. Semuanya terbayang di fikirannya. Entah berapa lama dia terkebil-kebil sendirian. Akhirnya dia tertidur. Nenyak sekali. Seekor dua nyamuk sesat yang singgah menghisap darah di tubuhnya tidak disedarinya.

“Adi, Adi, Adi tak nak ikut?” Suara lembut nenek mengejutkan Adi. Secepat kilat Adi terbangun. Adi tahu kalau mereka lambat, tempat nenek berjaja di pekan nanti akan di ambil orang. Mereka mesti sampai di pekan lebih awal. Kalau boleh, sebelum ada orang lain. Adi terus ke bilik mandi. Dia gosok gigi. Mandi. Kemudian bersiap.

Kali ini Adi memang cukup ceria. Sebelum mereka bertolak, Indi sudah menyediakan sarapan ala kadar untuk mengalas perut mereka. Taklah lapar sangat. Lagi pun di pekan nanti mereka boleh beli makanan seadanya. Walaupun pagi masih terang-terang tanah dan embun pagi terasa sejuk, namun Indi dan Adi terus melangkah. Indi dengan sikutannya penuh dengan barang-barang jualan. Ada isi keladi yang telah dikupas kulit, ada ubi kayu, ada ubi keledek, ada ubi manis, ada kacang panjang, ada kacang bendi, labu putih dan ada buah pinang. Termasuklah sigup yang telah mereka kemaskan semalam bersama Adi. Kadang kala Adi tersandung dengan gumpalan-gumpalan tanah yang ada di sepanjang laluan mereka semasa dalam perjalanan.
Langkah Indi agak panjang. Dia lebih laju. Adi terpaksa berlari-lari anak untuk mengejar Indi sepanjang perjalanan itu. Laluan mereka agak jauh. Lebih kurang dua kilometer sebelum mereka tiba ke jalan besar. Sebuah lorong kampung yang hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki. Ada juga beberapa pemuda yang menunggang motosikal menggunakan jalan ini. Kalau bukan kerana nekad, memang mereka agak sukar untuk menggunakan motorsikal mereka memudiki jalan kampung ini. Laluan ini sudah agak lama. Seingat Adi, laluan kecil ini sudah ada berbelas tahun dahulu. Itu Adi dengar dari mulut datuknya, Aki.

“Kalaulah jalan ini dinaiktaraf, alangkah senangnya perjalanan penduduk kampung berulang alik ke pekan Taklah susah sangat macam ini”. Adi meluahkan perasaana tanpa sesiapa pun tahu. “Siapalah saya”. Bisik hati kecilnya lagi cuba memujuk perasaannya sendiri. Adi mungkin tidak berkemampuan mengubah keadaan lorong laluan itu dengan keadaannya yang agak kerdil. Tapi sebagai rakyat, dia berhak menikmati keselesaan kemudahan yang ada sebagaimana di lain tempat.

“Lain tempat, cantik. Indah. Kenapa tempat kami tidak?” Adi seakan mempersoalkan keadaan perhubungan yang ada di kampungnya.

Akhirnya mereka tiba di jalan besar. Di sana, sebuah van sudah menunggu mereka.

“Aii, Adi pun ikut serta hari ini?” Pemandu van seakan menjemput ketibaan Adi.

“Mastilah, ‘kan hari ini cuti. Jadi saya ikutlah nenek”. Sahut Adi keriangan, petah sekali.. Dia memang biasa dengan Gaman, pemilik sebuah van di kampung itu. Gamanlah yang akan membawah sesiapa sahaja penduduk setempat untuk datang berjaja di pekan. Dia akan berulang alik dari pekan ke kampung tersebut setiap lima belas  ke dua puluh minit. Inilah sumber pendapatan Gaman. Dia bersyukur kerana dialah satu-satunya orang yang memiliki kenderaan di tempatnya. Gaman orang baik dan suka menolong. Kalau ada penduduk kampung yang tidak ada wang kecil untuk bayaran tambang, dia hanya kata ‘tak apa, lain kali sajalah’.

Di dalam van Gaman, Adi melihat sudah ada beberapa orang penumpang beserta dengan barang-barang jualan mereka. Masing-masing membawa sikutan dan ada  juga yang membawa kotak kertas sarat dengan barang jualan mereka. Adi senang yang ini. Di sekolah, Adi teringat tentang penjelasan guru darjah mereka. “Berniaga ini tidak semestinya memiliki kedai besar dan barang jualan bernilai beribu-ribu ringgit. Berjualan hasil kampung pun boleh dikatakan berniaga juga”. Perkataan itu tertanam dalam minda Adi. 

Van Gaman melaju menuruni sebuah bukit kecil melalui sebuah jalanraya aspal menuju ke pekan. Adi sempat melihat sekeliling sepanjang perjalanan. Matahari pagi sudah mulai muncul di ufuk timur. Sinarannya indah sekali. Emosi Adi terpesona ketika melihat berkas-berkas cahaya yang menembusi dedaunan kayu yang tumbuh merimbun di sepanjang jalan. Jiwa Adi terkasima seketika. Adi terbayangkan Aki di rumah. Aki sibuk dengan kerja-kerja kampung saban waktu. Kalau bukan di kebun getah, Aki akan membersihkan belukar yang cuba meranggut ketenteraman rimbunan pokok-pokok pisang di kebunnya. Kalau waktu pagi Aki di kebun getah menorah, pada sebelah petangnya pula dia akan berada di batas-batas tanaman pokok-pokok tembakaunya.

“Atuk tak pernah kenal letih.” Adi bangga dengan datuknya. Dia rajin. Baik dan peramah. Kadang Aki pandai marah juga sekali-sekala. Pernah sekali Adi tertebang sepohon tembakau apabila dia cuba membantu Aki merumput batas-batas tanaman pokok tembakau Aki suatu petang. Tapi marah Aki bukan berbaur kejam. Bukan juga mendera. Aki marah mendidik. Aki sebenarnya sudah beritahu Adi supaya berhati-hati, jangan sampai pokok tembakau tercentas. Tapi entah mana silapnya. Dalam diam-diam menebas rumput-rumput kecil, tiba-tiba parang kontot yang Adi pakai mengenai pangkal pohon tembakau. Apa lagi, tumbanglah pokok tembakau tersebut.

“Patutnya Adi jangan cuai. Pegang parang itu baik-baik. Mata tengok betul-betul. Jangan sampai pokok tertebang. Ni dah tumbang, nak buat apa lagi. Lain kali berhati-hati.” Panjang leteran Aki pada Adi.  Padat dan penuh makna buat Adi. Adi diam membisu. Seakan mengiakan kesalahannya. Adi tahu pokok tembakau yang tumbang takkan tumbuh kembali. Cuma daun-daun yang agak tua Aki suruh Adi kumpulkan. Aki akan hiris halus-halus. Keringkan. Buat sigup. Kesilapan ini menjadi pengajaran buat Adi. Setiap keterlanjuran tidak akan mampu diperbaiki sesempurna seperti sedia kala. Kalau baik pun pasti ada kecacatannya.

Van Gaman berlalu dengan kederasan yang sederhana. Sekali-sekala angin pagi yang agak sejuk tapi nyaman menerpa pipi gabu Adi. Sekejap-sekejap Adi menyapu rambut yang mengenai dahinya. Dalam diam-diam, Adi terfikirkan Ida, adiknya. Adi tahu Ida masih kecil. “Kesian Ida”. Bisik hati kecil Adi. Kalau ibu masih ada, pasti Ida bahagia. Adi juga tahu adiknya belum faham apa-apa tentang hidup. Pernah suatu ketika Ida bertanya kepada Adi tentang ayah dan ibu mereka. Kenapa ibu dan ayah tidak datang-datang menjenguk mereka. Ida rindu ayah. Ida juga rindukan ibunya. Adi tahu Ida memerlukan waktu untuk memahami semuanya itu. Sewaktu ayah dan ibunya meninggal dunia, Ida baru berumur sekitar dua tahun. Ertinya dia hanya berumur empat tahun kini.

Kalau hari-hari biasa, Ida lebih senang tinggal di rumah Aki dan Indi. Dia suka berkawan dengan Cencen. Cencenlah saja sahabat yang paling akrab dengan Ida selain abangnya Adi. Cencen menjadi sahabat karibnya. Kadang-kala Ida akan bercakap-cakap sendirian dengan Cencen. Cencen juga manja dengan Ida. Ada kalanya Cencen tertidur dipangkuan Ida. Adi sayu sendirian apabila melihat semuanya itu. Walaupun Adi masih budak kecil tapi dia faham dengan keadaan adiknya. Adi sayangkan adiknya lebih dari segalanya. Setiap kali Adi balik dari sekolah, tidak pernah dia tidak membawakan apa-apa oleh-oleh untuk adiknya. Jika Aki atau Indi memberinya wang untuk belanja di sekolah, Adi lebih rela tidak mahu makan. Dia akan belikan sesuatu untuk adiknya. Kadang dia belikan kuih pisang, mee goreng, keropok atau minuman kotak untuk dia bawa pulang untuk adiknya. Adi memang mempunyai hati yang luhur. Sikap mulia yang tertanam jauh ke dalam sanubari anak lelaki kecil ini tidak lain tidak bukan adalah warisan tunjuk ajar ibu dan ayahnya sejak kecil. Aki dan Indi juga sangat kagum dengan anak kecil ini.

Pernah satu ketika Adi balik dari sekolah lebih awal. Keadaannya tidak seperti biasa. Aki nampak langkah Adi longlai. Tidak bersemangat seperti selalu. Indi juga nampak. Indi tidak membuang masa. Sepantas yang boleh Indi sudah memegang Adi.  Indi tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan Adi.

“Panas!” bisik hati kecil Indi. Indi tahu Adi demam. Indi tidak mahu cucunya bertambah tenat. Indi mahu cucunya cepat sembuh. Itulah kegembiraan Indi yang utama. Indi mahu semua anggota keluarganya sihat. Mereka sihat, Indi pun bahagia.

Pengalaman hidup yang ada tidak membuatkan Indi kelam kabut. Dia tidak panik. Dengan cepat Indi mencari beberapa rumput yang tumbuh meliar di persekitaran rumah mereka. Dia cabut beberapa jenis rumput dan mengambil akar rumput-rumput tersebut. Bersihkanya. Kemudian Indi menjerang air. Selepas air mendidih, Indi tuangkan ke dalam gelas yang sudah dia masukan akar rumput liar tadi. Indi menyuapkan air yang masih agak suam itu ke dalam mulut Adi. Perlahan-lahan tapi berterusan sehingga semua air yang ada dalam gelas tersebut habis.

Kurang dari sepuluh minit, tubuh badan Adi mula berpeluh. Petang itu, Adi tidak perlu dibawa ke klinik. Dia sudah sihat. Dia sudah boleh membantu Indi di dapur untuk menyediakan makan malam mereka pada hari itu. Indi tahu Adi anak yang bersemangat. Kalau boleh Adi mahu melawan segala kelemahannya dengan semangat yang ada. Semangat kental yang tidak mudah menyerah. Itulah Adi yang Aki dan Indi kenal.

“Adi bawakan kerusi kecil ini di tempat yang selalu nenek berjaja, jangan ada orang lain ambil tempat kita.” Seru nenek setibanya mereka di pekan. Nampaknya mereka datang lebih awal. Keadaan pekan masih agak lengang. Kebanyakan kedai masih belum buka lagi. Adi berlari-lari anak ke sebuah kaki lima kedai yang selalu Indi gunakan untuk berjaja. Dia meletakkan kerusi kecil itu di sana. Kedai ini terletak dua pintu kedai dari hujung blok kedai-kedai yang ada. Kepunyaan seorang taukey Cina. Orangnya agak gempal tapi baik hati dan peramah. Kaki lima kedai ini berlantaikan mosaik. Bersih dan berkilat. Indih berjaja di sini sudah sekian lama. Mulanya ada juga beberapa pegawai penguasa pekan yang menegur Indi dan mengarahkannya untuk berpindah saja ke tempat lain. Namun tidak lama kemudian Indi beserta beberapa lagi orang yang selalu berjaja di kawasan tersebut, diberi kebenaran dengan syarat mereka mesti membayar beberapa ringgit setiap kali berjaja. Indi bersyukur. Apalah sangat dengan jualan mereka orang kampung. Kadang kala ada, kadang kala tiada. Bayar tambang van Gaman pun adakalanya tidak cukup. Namun Indi tidak pasrah. Dia berusaha untuk memperbanyak barang-barang jualan. Terutamanya hasil tanaman kampung.

Indi gembira hari ini. Barang-barang yang Indi jual agak laku. Ubi kayu, ubi keledek, ubi rembat, kacang bendi, kacang panjang semuanya habis terjual lebih awal. Pelangannya pelbagai. Ada Cina. Ada Kadazan. Ada Dusun. Ada Melayu. Orang Berunai pun ada. Beberapa bungkusan sigup dalam plastik pun ada banyak yang terjual. Satu bungkusan sigup, Indi jual hanya dalam tiga ringgit saja. Seringgit lebih murah dari rakan-rakan seperniagaannya. Ada ramai kawan dan kenalan Indi turut membeli sigup. Malah Indi menjamu mereka dengan sirih sebelum mereka membeli. Adi turut gembira. Dia tersenyum-senyum riang. Pagi itu Indi tidak cukup tangan untuk melayan pelanggan. “Nasib baik Adi ada ikut serta”. Bisik hati Indi dengan penuh kesyukuran.

Suasana hiruk pikuk pekan mula terasa. Adi benar-benar gembira. Matanya melilau melihat pelbagai gelagat manusia. Dia nampak beberapa orang anak pendatang berkejar-kejaran kian kemari. Tendang menandang. Seakan meniru aksi kung fu. Adi tahu mereka pendatang kerana bahasa dan logat mereka bercakap sesama sendiri, Adi dengar. Ada juga beberapa anak orang tempatan yang merengkek-rengkek. Yang ini Adi faham. Faham sangat. Anak ini menunjuk kearah barang-barang permainan. Pistol mainan. Adi pasti anak ini menangis kerana mahu dibelikan alat mainan. Adi tak hairan. Dia tahu perasaan anak-anak. Kalau boleh dia pun mahu memiliki salah satu alat permainan tersebut. Tapi Adi sedar siapa dia. Adi tahu kemampuan Indi, neneknya.

“Banyak lagi barang yang lebih perlu daripada barang mainan”. Cetus emosi Adi seakan memujuk perasaannya sendiri.

Sebenarnya Adi memang biasa sangat dengan pekan ini. Kalau dia dibiarkan sendirian pun, Adi tahu dia tidak akan sesat. Lagi pun pekan ini tidaklah luas sangat. Cuma kadang kala dia agak seram apabila dia berjalan sendirian. Ada banyak muka-muka yang asing baginya. Sangat asing. Dulu, sewaktu nenek membawanya ke pekan ini buat pertama kali, Adi hanya nampak wajah-wajah yang sangat biasa dalam pemandangannya. Wajah-wajah tempatan yang agak cerah. Kini ada wajah-wajah yang agak gelap. Adi tahu yang ini sebab Adi dengar logat percakapan mereka. “Luar biasa”. Bisik hati Adi. Bahasa yang memang asing baginya. Sepatah pun Adi tak faham. Tapi itu semua Adi tak peduli. Adi tahu semuanya ini adalah tanggungjawab pemerintah dan kerajaan.

Di suatu sudut Adi terlihat sekujur tubuh. Kenapa dia? Siapa dia? Orang siapakah dia? Semua persoalan ini muncul di fikiran Adi. Adi memberanikan diri menghampiri sekujur tubuh ini. Adi lihat tubuh badan orang itu bergoyang-goyang. Memusingkan tubuh menghadap dinding. “Masih hidup”. Berdetak hati Adi. Adi sedikit terkejut. Adi kebingungan. Mana mungkin ada orang sanggup tidur di kaki lima kedai. Tapi yang ini benar-benar orang. Adi merenung raut wajah orang yang sedang berbaring tersebut. Comot dan kotor. Mulutnya terkumat-kamit. Rambutnya tidak terurus. Berselirat tak tentu arah.

“Patutlah”. Bisik hati kecil Adi apabila dia terpandang kepada sebiji botol berwarna hijau gelap terletak tidak berapa jauh dari kepala orang tadi. Tersimpan serba longgar dalam beg plastik yang agak kotor. Adi cuba mengintai-intai botol itu. Ada balutan kertas dengan imej berupa cap. Cap yang agak biasa bagi Adi. Cap kepala harimau. Di kampung, Adi perrnah dengar orang sebut isi botol itu secara berseloroh sebagai ‘susu harimau’.

“Ini mesti minuman keras”, getus fikiran Adi cuba menyakinkan dirinya sendiri.

Dalam kecil-kecil begitu, Adi kadang-kala tidak faham dengan tabiat orang sekaumnya sendiri. Ada yang langsung tidak memikirkan masa depan. Malah ramai anak muda yang lebih suka membuang masa. Mereka minum minuman keras tanpa terkawal. Ada juga kejadian pergaduhan berlaku apabila mereka sudah mabuk. Bahkan ada diantara mereka yang sudah kerap kali masuk lokap polis namun tidak serik-serik. Inilah yang membuatkan Adi tertanya-tanya. “Sampai bila?” soal hati kecil Adi. Tiada individu yang paling sesuai untuk Adi ajukan persoalan itu. Malah bukan seorang dua yang sudah pandai menghisap rokok dikalangan anak-anak muda yang ada di kampungnya. Berpuluh orang. Rata-rata anak muda yang pernah Adi jumpa semuanya pandai ‘berasap’.

“Apa kau mahu? Apa tengok-tengok?” Adi terkejut beruk. Sepantas kilat Adi melarikan diri dari orang yang sedang berbaring tadi.

“Sudahlah kotor, pemarah pula. Tidak sedar diri. Memalukan kaum sendiri.” Adi luahkan kemarahan dan kegeraman pada dirinya sendiri. Adi tahu orang tersebut sihat, sasa dan tangkas. Tidak sepatutnya bermalas-malas sedemikian. Tidak sepatutnya menjadi gelendangan di kampung sendiri. Di pekan sendiri. Benar-benar memalukan ibubapa. Adi mengerutu sendirian. Sambil berjalan seadanya kearah nenek yang sedang berjualan, Adi sempat membandingkan keadaan orang tadi dengan neneknya. Nenek dah berumur tapi tidak pernah kenal putus asa. Malah tidak kenal letih dan lelah walaupun dia lesu. Nenek sentiasa berusaha untuk mencari rezeki dengan khudrat yang ada padanya. Kalau Adi lihat dan bandingkan usaha nenek dengan keadaan orang tadi, amat jauh berbeza. Adi belajar melalui keadaan ini. Setiap perkara dan suasana menjadi pengajaran hidup bagi Adi.

“Adi tak lapar? Nah, ambil duit ni. Pergilah beli apa yang Adi suka mahu makan.” Terharu benar emosi Adi. Adi tahu duit nenek tidaklah seberapa. Walaupun pagi itu ada ramai pelanggan yang membeli jualan nenek tapi jualan nenek bukannya bernilai ratusan apa lagi ribuan ringgit. Adi memang faham. Adi menghulurkan tangannya juga. Mengganggam wang yang Indi bagi. Wang kertas warna hijau. Lima ringgit.  

“Terima kasih nek.” Sahut Adi selepas mengambil wang huluran nenek. Adi mengambil wang yang nenek bagi pun dengan cara yang lembut sekali. Bukan seperti kebanyakan anak-anak yang sebaya dengannya. Merentap kemudian berlalu pergi. Bahkan wang yang diberikan pun seakan tidak mencukui. Kebanyakannya mencabik mulut seakan menunjukkan kekecewaan. Jauh sekali dari mengucapkan terima kasih. Seolah-olah wang itulah sagala-galanya. Siapa yang bagi, mereka tidak peduli. Mereka hanya fikir wang ada di genggaman mereka. Tapi Adi tidak. Adi lain dari yang lain. Adi memang anak yang baik. Dia tahu bagaimana mahu berterima kasih. Adi tahu dari mana asal usulnya. Adi faham bagaimana tingginya langit itu. Adi juga tahu yang dia sedang berada di daratan. Berpijak di bumi nyata.

“Wah, banyak ini.” Bisik hati kecil Adi. Adi teringatkan adiknya Ida. Perlahan-lahan dia menuju ke satu deretan gerai. Gerai menjual kuih-muih. Adi sudah berkira-kira mahu membeli sesuatu untuk Ida, adiknya dan juga Aki, datuknya. Sebenarnya Adi tidak mempunyai kejutan apa-apa untuk dua orang yang amat Adi sayangi ini. Adi hanya mahu memberi. Jika dia mempunyai sesuatu, orang lain pun patut merasainya juga. Itu isi hati kecil Adi. Tulus dan ikhlas. Dia tidak pernah mengharapkan belasan apa-apa. Sebab itu Adi tidak mengerti dan tidak faham bagaimana untuk memberikan sesuatu sebagai kejutan. Adi fikir dia tidak ada apa-apa kejutan pun.

Pernah sekali, sewaktu masa rehat di sekolahnya, Adi perasaan ada seorang kawan sekolahnya sedang teresak-esak menangis. Orang tidak pedulikan murid ini. Tapi Adi perasaan. Dia menghampirinya. Dia cuba bertanya kenapa. Kawan sekolah ini meluahkan segalanya. Wang pemberian ibunya untuk makan waktu rehat hilang. Entah hilang di mana. Dia tak sedar. Adi tak banyak bicara. Diberinya dua ringgit kepada kawannya itu. Dia rela tidak makan daripada melihat seseorang dalam kekecewan. Adi tidak faham dengan dirinya sebenarnya. Tapi ada sesuatu kelainan di dalam sanubarinya. Dia mudah merasa kasihan. Kasihan yang bukan dibuat-buat. Emosinya juga mudah tersentuh. Inilah sikap unik Adi. Malah ada juga di kalangan guru sekolahnya yang perasaan dengan tingkah laku Adi ini. Mereka kagum dengan Adi. Guru-gurunya faham benar kenapa Adi mempunyai ramai teman di sekolahnya. Ada diantara teman-temannya sudah berada di kelas yang lebih tinggi dari dia sendiri. Ada yang tahun lima. Malah ada yang sudah di tahun enam. Rata-rata murid-murid di sekolah tersebut suka berkawan dengan Adi. Namun Adi tidak pernah mengambil kesempatan dengan popularitinya itu. Dia sentiasa sedar siapa dia.

Pernah Adi terbaca di surat khabar mengenai pembulian. Ada pelajar yang suka membuli pelajar lain. Adi juga pernah baca mengenai kejadian maut akibat buli di beberapa sekolah. Gangsterisme juga pernah Adi dengar. Malah ada banyak berita yang memilukan pernah Adi baca di dada-dada akhbar tempatan. Kejadian bunuh. Rogol. Perompakan. Pecah rumah dan banyak lagi. Malah bunuh ibubapa pun Adi pernah baca. Bahkan ada diantara kejadian yang dahsyat ini dilakukan oleh orang-orang muda. Adi merasa seram dengan berita-berita ini. Adi bingung memikirkan mengapa perkara-perkara menggerunkan ini berlaku.  Adi menggelengkan kepalanya sendiri. Beberapa orang yang berselisih dengan Adi kebingungan dengan gelagatnya.

“Kuih wazit bagi saya harga satu ringgit. Kuih lenggang pun satu ringgit. Yang ini kuih bulan, bagi saya sekeping”. Pinta Adi kepada penjual kuih-muih apabila dia berada di hadapan sebuah gerai menjual kuih-muih. Adi terliur-liur sendirian apabila melihat pelbagai juadah yang dijual. Tapi Adi sudah pahatkan dalam hatinya. Dia mahu belikan kuih-kuih itu untuk Ida dan Aki. Adi tahu mereka sedang menunggu kepulangan Adi dan Indi dari pekan. Walaupun Adi tahu Aki sudah masak seadanya pada tengah hari itu tapi Adi mahu juga bawakan sesuatu. Adi tahu pemberian ini tidaklah banyak mana tapi sekurang-kurangnya ada buah tangan untuk mereka.

“Ini bakinya ‘dik. Terima kasih, ya”. Penjual kuih menghulurkan satu ringgit lima puluh sen baki duit Adi.

“Terima kasih kembali”. Adi menyambut dengan sopan sekali. Adi tahu tidak ada gunanya dia bersikap kasar. Inilah sifat-sifat yang ada pada diri Adi. Bukan dibuat-buat. Bukan sekali-sekala. Bukan hanya apabila ada orang melihat. Bukan hanya apabila dia dipuji. Tapi setiap masa. Itulah sifat-sifat semulajadi diri Adi.

“Nek, ini bakinya nek”. Adi mengambalikan satu ringgit lima puluh sen baki duit yang nenek bagi tadi.

“Tak apalah Adi. Adi ambillah”. Indi menyahut lembut kata-kata Adi. Nenek tahu seringgit lima puluh sen banyak manalah sangat.

“Nek, Adi beli kuih wazit, kuih lenggang dan kuih bulan”. Adi seakan melapur diri kepada Indi. Adi cuma mahu bersikap jujur. Tidak lebih dari itu. Adi memasukkan kuih-kuih yang sudah dibelinya ke dalam sebuah raga dalam sikutan Indi.

“Adi makanlah. Adi laparkan, makanlah”. Nenek seakan menyuarakan pedulinya terhadap cucu kesayangannya itu. Indi faham sangat dengan cucunya itu. Pernah Indi dengar mengenai anak-anak yang sangat dimanjakan sehingga memijak kepala ibubapa sendiri. Indi tahu kalau semua kemahuan anak-anak ditunaikan tanpa usul periksa, anak-anak akan menjadi diktator dalam kehidupan mereka sendiri. Akhirnya mereka beranggapan bahawa setiap kemahuan mereka patut dipenuhi tanpa tantangan. Mereka akan mudah memberontak. Malah ada kes dimana anak-anak sanggup mencederakan orang tua mereka sendiri hanya kerana permintaan mereka tidak dipenuhi. Indi faham benar keadaan ini. Indi sudah lama maklum mengenai situasi ini. Sebab itu Indi sentiasa berhati-hati dengan dua orang cucunya, Adi dan Ida.

Indi faham, walaupun mereka tinggal di kampung, tapi pencarobah hidup sentiasa mengintai kehidupan. Terutamanya terhadap kehidupan anak-anak muda. Cucu-cucunya sendiri.

Jam sudah menunjukkan pukul satu empat puluh petang. Sebuah radio kecil dari kedai menjual alat-alat elektrik biasa kepunyaan seorang India, sedang berbunyi tidak jauh dari tempat Indi berjajah. Radio kecil ini mengumandangkan lagu-lagu dari Suria FM. Sekali-sekala masa waktu-waktu tertentu dikeudarakan. Adi tahu waktu itu sudah petang. Bukan hanya kerana radio kecil mengumumkannya tapi matahari sudah semakin condong ke arah barat.

“Adi, mari tolong nenek bawahkan barang ini ke van Gaman”. Indi memohon pertolongan Adi. Adi tidak mengambil masa yang lama untuk mengangkat barang-barang yang ada. Adi sangat senang melakukan kerja-kerja yang dia anggap sangat mudah itu. Sebenarnya Adi sudah terbiasa melakukan kerja yang lebih berat dari itu.

“Terima kasih abang, terima kasih abang”. Ida tidak puas-puas mengucapkan terima kasih kepada Adi. Ida tahu abangnya sangat sayangkan dirinya. Adi ambilkan pinggan kemudian memasukkan kuih-kuih yang dia sudah beli di pekan tadi. Ida sangat suka. Ida masih kecil tapi dia tahu peraturan. Sebelum dia makan, dia basuh tangannya terlebih dahulu. Adilah yang selalu memperingatkanya tentang hal itu. Akhirnya peraturan yang sangat mudah itu menjadi tabiat murni kepada perempuan kecil ini. Ida adik Adi, senang menurut apa jenis peraturan pun.

Walaupun Ida suka dengan kuih-kuih yang ada di depannya tapi dia tidak lahap. Tidak gelojoh. Malah dia makan dengan sopan sekali. Bahkan dia sendiri mempelawa atuk, nenek dan Adi makan bersama. Bahagianya rasa di hati. Aki turut menghidangkan masakan ala kadarnya tengah hari itu. Jantung pisang campur ikan masin masak santan. Sedap sekali. Pandai Aki masak. Petang itu Adi agak berselera. Dua pinggan dia habis licin. Ida pun apa kurangnya. Selepas sebatang kuih lenggang dan masing-masing sepotong kuih wazit dan kuih bulan, Ida masih berselera menghabiskan semangkuk nasi sedang besarnya dilumuri lauk yang Aki masak. Sedap, memang sedap. Indi pun turut berselera. Namun selera Indi tidak seberapa. Tidak sama seperti beberapa tahun yang lalu. Maklumlah umur sudah agak lanjut.

Pagi itu, Adi bersiap-siap untuk ke sekolah. Beg galas yang selalu dia pakai, dicapainya. Semalam lagi dia sudah kemaskan buku-buku yang harus dia bawa pagi itu berdasarkan jadual yang cikgu darjahnya bagi dari awal tahun lagi. Dia tidak perlu tunggu disaat-saat akhir.

Sepanjang perjalanan ke sekolah, hati Adi agak resah. Indi sudah seminggu kurang sihat. Indi selalu mengadu kepalanya agak berat akhir-akhir ini. Hampir setiap malam Adi sentiasa di sisi Indi. Adi tidak pun merasa terbeban mengurut kaki, tangan, belakang malah bahagian dahi dan pelipis kepala nenek. Cuba untuk meringankan sakit kepala yang Indi sedang tanggung. Berbotol ubat gosok sudah kosong. Namun sakit kepala Indi tidak juga sembuh.

Sehari yang lalu Aki ada membawa Indi ke Poli Klinik. Dia cuma diberi ubat antibiotik, beberapa biji vitamin berwarna kuning dan sebotol paracetamol. Aki, Adi dan Ida semakin susah hati. Tapi Adilah yang paling risau. Adi tidak mahu memikirkan perkara yang bukan-bukan. Adi masih mempunyai keyakinan bahawa Indi, neneknya yang dikasihi akan sembuh seperti sediakala. Hampir setiap saat, Adi memanjatkan doa kepada Yang Maha Kuasa agar memulihkan kesihatan Indi.

Adi sudah berada di bilik darjah seawal jam tujuh pagi itu. Pagi itu Adi rasa masa berlalu dengan lambat sekali. Adi cuma mahu tunggu bilakah kelas terakhir hari itu akan selesai. Walaupun fikirannya bercelaru namun dia tetap memberikan perhatian sepenuhnya apabila guru-guru bagi subjek masing-masing masuk mengajar. Adi tidak mahu menjadi murid yang acuh tak acuh. Indi menjadi objek utama dalam minda Adi sepanjang pagi itu.

Sehabis kelas terakhir pada hari itu, Adi terus balik ke rumah. Dalam fikirannya cuma Indi, neneknya. Langkahnya agak kecil tapi dipercepatkanya. Tengah hari itu cuaca agak panas. Matahari memancar dengan terik sekali. Panasnya seakan menusuk tulang. Adi tidak pedulikan semuanya itu. Dia cuma mahu sampai di rumah secepat yang boleh.

Dari kejauhan, Adi melihat persekitaran rumah Aki dan Indi. Sayup-sayup kelihatan ada ramai orang di rumah tersebut. “Luar biasa”. Bisik hati kecil Adi. Dia teruskan perjalanan. Dekat dan semakin dekat dengan rumah Aki, datuknya.

“Kalau ada apa-apa, mesti atuk menjemput saya di sekolah lebih awal”. Adi seakan memujuk hatinya sendiri.

“Jangan-jangan …”. Adi tidak sanggup meneruskan bisikan hati kecilnya. Dia terus melangkah. Di sana dia lihat Tok Penghulu, Jerban, wanita-wanita separuh umur, ramai pemuda dan beberapa gadis sunti sedang memerhatikannya.

“Atuk mana? Ida mana”? Adi menjadi kelam kabut. Di satu penjuru, Cencen terkurung dalam kurungan khas. Terikat rapi. Adi tidak pedulikan semuanya itu. Dia menerobos masuk ke dalam rumah. Di ruang tamu ada sekujur tubuh ditutupi kain putih.

“Abang Adi, nenek …”. Ida tidak sempat melanjutkan kata-katanya. Dua adik beradik itu berpelukan dalam tangisan pilu. Kedua-duanya tidak mampu menahan air mata.  Suasana petang itu diseliputi kesedihan. Aki tidak sanggup berdiri dari tempatnya bersila dekat dengan Indi, isteri yang amat dikasihinya.

“Nenek, nenek. Kenapa nenek tinggalkan Adi? Nenek, jangan tinggalkan Adi!” Raung Adi tanpa mempedulikan sekelilingnya. Adi benar-benar tidak mahu kehilangan neneknya. Pandangan Adi menjadi samar-samar. Kemudian gelap. Adi pengsan. Kasih Adi kepada neneknya tidak berbelah bagi.

“Nenek … Abang Adi …” raung Ida petang itu. Anak kecil yang baru mahu mengenal erti kehidupan.

Semua orang tertunduk. Sedih. Pilu. Tok Penghulu tak sanggup menahan tangis. Jerban dari awal lagi sudah teresak-esak. Menangis. Pemergian Indi benar-benar dirasai.





2 comments:

Kevin Collins said...

Hi. I really enjoyed my brief visit on your site and I’ll be sure to be back for more.
Can I contact your through your email?

Please email me back.

Thanks!
Kevin
kevincollins1012 gmail.com

sherlina halim said...

www.indobet77.com

Master Agen Bola , Casino , Tangkas , Togel Terbesar
dan Terpercaya Pilihan Para Bettor

Promo Terbaru :
- Bonus  10% New Member Sportsbook
- Bonus 5% New Member Casino Online
- Bonus 10% Setiap Hari Bola Tangkas
- Togel Online
- Sabung Ayam ( New Produk )
- CASHBACK untuk Member
- BONUS REFERRAL 5% + 1% Seumur Hidup

untuk Informasi lebih jelasnya silahkan hubungi CS kami :
- YM : indobet77_sb2@yahoo.com
- EMAIL : indobet77@gmail.com
- WHATSAPP : +63 905 213 7238
- WECHAT : indobet77
- SMS CENTER : +63 905 213 7238
- PIN BB : 2B65A547 / 24CC5D0F

Salam Admin ,
http://indobet77.com/